Bukan KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk memenuhi tuntutan Perikatan Nasional (PN) yang mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana ia dilihat sebagai satu kehendak untuk berkuasa semata-mata.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad berkata, ketika ini Perdana Menteri perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha memperkukuhkan ekonomi negara khususnya menangani isu kos sara hidup.
“Kerajaan dengan semangat Keluarga Malaysia, konsisten menumpukan kepada program dan inisiatif untuk memberi kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh rakyat, bukannya berebut jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Ini dapat dilihat dengan komitmen kerajaan yang mengumumkan kenaikan subsidi lebih RM77 billion. Bukan itu sahaja, banyak lagi kerajaan telah dan akan laksanakan untuk rakyat dan negara.
“Jadi, janganlah kita menuntut kepada perkara yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melahirkan rasa kecewa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian di antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.
Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, pada Khamis.
Menurut Azhar, rakyat akan muak sekiranya pemimpin PN terus bermain politik ketika negara sedang bergelut dengan pelbagai konflik.
“Kenapa desak Perdana Menteri untuk perkara yang tidak perlu? Apa salahnya, semua menteri dan timbalan menteri membantu Perdana Menteri demi kepentingan negara dan bukannya peribadi.
“Kalau nak lantik Timbalan Perdana Menteri pun, saya rasa tiada guna sebab pilihan raya sudah dekat. Pelantikan tersebut tidak membawa sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette