Air Selangor water tariff
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berjaya menerbitkan SRI Sukuk Kelestarian Air Selangor (SRI Sukuk) bernilai RM900 juta.

Ia merangkumi empat siri sepanjang tujuh tahun hingga 20 tahun yang merupakan
bahagian ketiga di bawah Program Sukuk Murabahah sedia ada yang bernilai RM10.0 bilion.

Penerbitan SRI Sukuk ini mencatatkan lebihan langganan sebanyak 1.7 kali.

Hasil daripada SRI Sukuk akan dimanfaatkan untuk membiayai projek yang layak dan mematuhi Kerangka Sukuk Kelestarian Pembangunan Lestari Air Selangor.

Projek yang layak termasuk, antara lain, projek bekalan air lestari (termasuk pembangunan Skim Bekalan Air
Rasau) dan pengurusan air lestari yang selari dengan usaha dan komitmen Air Selangor untuk mewujudkan sistem bekalan air yang lestari untuk generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, lebihan langganan daripada penerbitan SRI Sukuk ini merupakan bukti keyakinan pelabur terhadap Air Selangor serta kejayaan pelaburan lestari yang kukuh dalam pasaran secara umumnya.

”Ini mencerminkan lagi kekuatan kredit SRI Sukuk kami dan keinginan pelabur untuk menyokong agenda lestari yang memberi kesan positif kepada alam sekitar dan komuniti.

”Dengan penerbitan SRI Sukuk baharu ini, kami berada di landasan yang tepat ke arah menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030,” katanya.

Bank Islam Malaysia Berhad serta CIMB Investment Bank Berhad merupakan Pengurus Utama Bersama (JLM) yang memainkan peranan penting dalam proses penerbitan, sekaligus menyumbang kepada kejayaan ini.

Program Sukuk Murabahah ini memperkukuhkan lagi penilaian jangka panjang dan pendek AAA dengan unjuran stabil dan P1 oleh RAM Rating Services Sdn Bhd pada 13 September 2021.

Penilaian AAA ini mencerminkan keunggulan keselamatan bagi proses pembayaran bagi tanggungan kewangan manakala penilaian P1 mencerminkan tahap keselamatan tertinggi bagi proses pembayaran bagi tanggungan kewangan dalam jangka pendek. – MalaysiaGazette