Perwakilan Armada Bersatu bersorak semangat pada Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengubah arah politik daripada parti berteraskan Melayu menjadi parti yang bersifat berbilang kaum. Bermakna sebelum ini Parti Bersatu mempunyai matlamat utama seperti parti UMNO dan Pas dan mempunyai pasaran politik yang mengkhusus kepada orang Melayu dan Bumiputera sahaja.

Namun kini telah berubah arah dan hala tuju kepada parti berbilang kaum yang membuka penyertaan kepada kaum Cina dan India. Pasaran politik Bersatu kini sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia.

Bermakna bukan Bumiputera boleh ramai dicalonkan jadi wakil rakyat dan bersaing sama rata dengan parti lain yang merupakan parti berbilang agama dan kaum.

Akan tetapi akar umbi Bersatu pasti kurang selesa apabila berada di peringkat ini, yang mana pembelaan bangsa dan isu kepentingan kaum melayu tidak boleh disuarakan lagi kerana khuatir dan demi menjaga hati pelbagai pihak. Tujuan asal mereka menyertai Bersatu ialah sebagai alternatif kepada parti UMNO yang membuka keahlian kepada Melayu dan Bumiputera sahaja.

Bersatu mula tempang langkah apabila Tan Sri Muhyidin Yassin berjaya meraih sokongan untuk menjadi Perdana Menteri setelah Tun Mahathir Mohamad meletak jawatan apabila ahli-ahli Parlimen daripada team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seramai 10 orang yang bertindak keluar dari PKR.

Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum yang telah memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Bagi memberi penghargaan dan mengenang jasa, di samping memikirkan mereka tidak mempunyai parti maka mereka telah dijemput untuk menyertai Bersatu dan dijanjikan kedudukan di dalam parti .

Maka Bersatu melalui perhimpunan agung khas telah meminda perlembagaan parti itu daripada parti yang berteraskan Melayu dan bumiputera kepada menubuhkan satu sayap baru iaitu ‘ sayap bersekutu’.

Ia satu sayap baharu di samping Armada dan Srikandi yang mengetengahkan ahli ‘bukan bumiputera’ bagi memberi dan mempunyai kuasa serta suara sebaris dengan ahli yang lain . Jika sebelum ini ahli bersekutu tidak layak untuk mengundi pada pemilihan parti namun mereka sudah mula boleh mengundi dan layak untuk memegang jawatan tertinggi.

Kesinambungannya, Bersatu dilihat sedikit lari daripada landasan sebenar dasar perjuangan Bersatu ketika mula ditubuhkan. Ia sepatutnya menjadi wadah alternatif perjuangan politik orang Melayu dan bumiputera yang tidak mahu bersama dengan UMNO dan memerlukan tempat untuk bersuara bagi membela dan membincangkan isu-isu kepentingan Melayu dan bumiputera namun apabila perlembagaan telah dipinda, isu-isu kepentingan kaum mula menjadi sesuatu isu yang sensitif dan tidak boleh dibincangkan .

Syaiful Irfan Anang
Mantan Ketua Armada Terengganu