Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin diiringi Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Dr Supramaniam Shamugan serta yang lain bergambar kenangan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-10 di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin optimis sasaran nilai eksport sarung tangan getah pada tahun ini mencapai  RM23.6 bilion.

Keyakinannya itu bersandarkan kepada trend permintaan pada waktu ini, meskipun pandemik Covid-19 telah berlalu.

“Saya yakin dan optimis dengan sasaran ini sebab budaya menjaga kebersihan sekarang sudah terserap dalam masyarakat seluruh dunia,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-10.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Dr Supramaniam Shamugan dalam ucapannya mensasarkan nilai eksport tahunanan sarung tangan getah pada 2022 dijangka meningkat sebanyak 12 peratus berbanding 2019.

Katanya, nilai eksport pada tahun 2019 adalah sebanyak RM17 bilion.

Jelas beliau, pihaknya tidak membuat perbandingan nilai eksport tahun ini dengan tahun lalu ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.   

Mengulas lanjut Zuraida berkata, dalam usaha mencapai sasaran berkenaan MARGMA telah mengenal pasti negara-negara yang harus ditembusi sebagai pasaran baharu sarung tangan getah.

Beliau percaya industri sarung tangan getah akan terus berkembang ke seluruh dunia menerusi kajian kualiti semasa dan sokongan pelbagai pihak, termasuk KPPK.

“Betapa hebatnya industri sarung tangan kita ini kajiannya turut disokong dari dalam negara dan luar, jadi industri ini akan terus berkembang saya yakin permintaannya juga akan terus meningkat,” tambah beliau.

Terdahulu, majlis hari ini menyaksikan  MoU di antara Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan 18 penaja sempena Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-10.

Persidangan berkenaan diadakan pada 6 hingga Ogos ini bakal menonjolkan penambahbaikan, inovasi dan pembaharuan terkini industri sarung tangan getah.

Sebanyak 600 peserta melibatkan 224 syarikat daripada 17 buah negara akan menyertai persidangan yang akan berlangsung selama dua hari itu nanti.- MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast