KPDNHEP Pahang merampas dan menyita lapan tangki petak yang dianggarkan berkapasiti 1,000 liter setiap satu dan telah diubahsuai di dalam lori muatan tujuh tan, semalam.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang berjaya menumpaskan  satu sindiket penyelewengan diesel dalam satu serbuan di sebuah premis stesen minyak di Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, dua individu yang ditahan itu merupakan pemandu lori dan kelindan, masing-masing berusia 51 dan 21 tahun.

Hasil pemeriksaan menjumpai lapan tangki yang dianggarkan berkapasiti 1,000 liter setiap satu dan telah diubahsuai di dalam lori muatan tujuh tan.

Malah, sebuah pam minyak yang digunakan bagi tujuan memindahkan diesel dari steen minyak ke tangki turut ditemui.

Mark Ujin

“Kesemua nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM59,000. Pemilik boleh didenda sehingga RM1,000,000 bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, kedua-dua ditahan di bawah Peraturan 18 (1), PPKB (pindaan) 2021 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mark menambah, minyak yang diseleweng itu dipercayai akan dibawa keluar dari negeri ini.

Untuk rekod, KPDNHEP Pahang telah membuat pemeriksaan ke atas 39,583 premis yang melibatkan pelbagai peringkat perniagaan sepanjang tempoh bermula 1 Januari lalu sehingga kini.

Daripada jumlah itu sebanyak 455 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM189,960.00 dan kompaun sebanyak RM297,300. – MalaysiaGazette