Ruang dalam Perodua Alza baharu.

KUALA LUMPUR – Perodua telah mendapat bekalan cip semikonduktor secukupnya untuk mengeluarkan dan mendaftar lebih daripada 247,800 unit yang disasarkan pada awal tahun ini.

Malah, Perodua juga bekerja rapat dengan kerajaan untuk mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor automotif pada awal Ogos ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu masih dalam usaha menstabilkan peningkatan pengeluarna baharu sebelum mengumumkan sasaran jualan baharu nanti.

Menurut beliau, langkah-langkah yang diambil ini membolehkan Perodua beroperasi sepenuhnya.

”Walaupun angka jualan kami sehingga kini kukuh, namun masih lagi terdapat beberapa isu yang belum selesai seperti kekurangan tenaga kerja dan bekalan cip semikonduktor yang masih belum stabil.

”Akibat daripada isu-isu ini, jualan bulanan kami merosot sebanyak 13.3% kepada 18,346 pada bulan Julai berbanding 21,164 kenderaan yang dijual pada bulan Jun lepas,” katanya.

Zainal berkata, jumlah jualan industri automotif tahun ini juga berpotensi untuk melebihi sasaran 630,000 unit yang telah diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini.

“Hampir kesemua jenama kenderaan di negara ini menerima tempahan yang banyak kerana para pelanggan ingin mendapat initiatif pengecualian cukai jualan dan saya percaya industri automotif dapat melepasi unjuran tambahan 30,000 unit yang
diumumkan oleh MAA,” katanya.

MAA telah meningkatkan sasaran jualan tahun 2022 kepada 630,000 unit, peningkatan 30,000 unit daripada sasaran asal.

Dalam pada itu, Zainal berkata, permintaan bagi kenderaan Perodua masih kukuh dengan menerima sebanyak 24,265 tempahan pada bulan Julai walaupun cukai jualan bagi kenderaan baharu diperkenalkan semula pada 1 Julai 2022.

Jualan Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7% kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual pada masa sama tahun lepas.

Prestasi ini disumbangkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan Perodua kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan dan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 .

Beliau berkata, bilangan tempahan kenderaan baharu, walaupun tidak setinggi prestasi Januari hingga Jun tahun ini, adalah lebih baik daripada apa yang dijangkakan.

Ini membuktikan bahawa industri automotif masih ada potensi yang cerah.

Zainal berkata, Perodua Alza baharu juga telah menerima tempahan sebanyak 39,000 sejak dibuka termasuk sebanyak 9,000 unit pada bulan Julai.

Perodua mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit Alza sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast