Gambar hiasan

Mengapa jangkitan semula Covid-19 berlaku?

Sejak kebelakangan ini, kes jangkitan semula Covid-19 dalam kalangan masyarakat semakin meningkat. Wad Covid-19 di hospital semakin sesak dengan kemasukan pesakit Covid-19. Malah, tahap jangkitan bagi pesakit Covid-19 dilihat semakin teruk. Kebanyakan kes yang direkodkan merupakan kes jangkitan semula Covid-19. Namun, mengapakah terdapat kes jangkitan semula Covid-19 sedangkan majoriti rakyat Malaysia sudahpun menerima vaksin dan dos penggalak untuk Covid-19?

Jangkitan semula atau re-infeksi boleh disebabkan oleh dua faktor iaitu imuniti terhadap Covid-19 samada dari jangkitan pertama atau vaksinasi menurun dengan cepat dan mutasi virus. Kunci kepada keberkesanan vaksin bergantung kepada kebolehan antibodi untuk mengenal pasti bahagian protein spike virus SARS-CoV-2. Sebelum varian Omicron ditemui, vaksin Covid-19 terbukti dapat memberi perlindungan daripada Covid-19 termasuklah perlindungan daripadan varian Delta. Hal ini kerana, antibodi yang dihasilkan oleh pemvaksinan dapat mengenal pasti protein spike pada varian Delta dan meneutralisasikan virus tersebut.

Berbanding varian Delta, kajian menunjukkan varian Omicron mempunyai 37 mutasi yang berlaku pada protein spike varian tersebut. Disebabkan mutasi yang banyak, ini boleh menyebabkan varian Omicron untuk mengelak daripada antibodi yang dihasilkan oleh vaksin. Ia juga bermaksud, antibodi daripada system imun badan ataupun vaksinasi mungkin dapat memberi perlindungan yang kurang kepada jangkitan varian Omicron berbanding varian-varian sebelumnya.

Pada peringkat awal pandemik Covid-19, risiko jangkitan semula hanya dilaporkan lebih kurang satu peratus, tetapi dengan kehadiran Omicron, risiko re-infeksi meningkat 10 kali ganda. Kehadiran subvariant Omicron BA.4 dan BA.5 memburukkan lagi keadaan. Ini bermakna jangkitan awal dan vaksinasi bukanlah petanda bahawa kita tidak akan dijangkiti, terutamanya di kala Omicron dan subvariant BA.5 dan BA.4 sedang menular.

Siapakah golongan yang berisiko?

Mereka yang mempunyai daya imuniti rendah tidak dapat menghasilkan tindakbalas imun yang tinggi terhadap jangkitan atau vaksinasi, maka mereka adalah golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan semula. Antara golongan ini ialah :
• perempuan mengandung
• warga tua
• warganegara yang mempunyai komorbiditi
• warganegara yang mempunyai sistem imun yang rendah
• atau vaksinasi yang tidak lengkap

Golongan kedua yang berisiko mendapat jangkitan semula ialah merreka yang tidak divaksinasi. Kajian di Afrika melibatkan subvarian BA.4 dan BA.5 menunjukkan bahawa kedua-duanya berupaya untuk menyebabkan jangkitan di kalangan mereka yang telah dan tidak divaksinasi. Namun risikonya lebih tinggi di kalangan yang tidak divaksinasi.

Bilakah reinfeksi berlaku?

Jika seorang pesakit telah dijangkiti dan sembuh daripada Covid-19, berapa lamakah perlindungan system imun badannya dapat menahan jangkitan semula Covid-19? Kajian tentang reinfeksi daripada Covid-19 masih sedang dijalankan. Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa sesorang boleh mendapat reinfeksi Covid-19 seawal 90 hari daripada jangkitan asal. Sesetengah gejala yang dialami oleh pada jangkitan kedua boleh menjadi lebih ringan daripada jangkitan asal atau boleh juga menjadi lebih teruk daripada jangkitan asal. Kadar gejala yang dialami dan risiko reinfeksi bergantung kepada varian yang sedang berleluasa.

Oleh itu, kadar pengawasan dan penjujukan genom bagi memastikan jenis varian yang beredar dalam masyarakat juga harus ditingkatkan. Keputusan pengawasan yang mencukupi boleh membantu pegawai kesihatan awam merangka langkah kawalan jangkitan yang sesuai untuk membendung jangkitan dalam komuniti.

Impak reinfeksi

Jangkitan berulang kali sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seseorang. Ini kerana mereka terpaksa dikuarantin, dan ini boleh menjejaskan kerjaya, persekolahan juga pendapatan. Disebabkan kuarantin tidak lagi dikawal oleh pihak berwajib, ada kemungkinan mereka yang dijangkiti tidak menjalani kuarantin dan menyebarkan virus kepada orang lain.

Kebanyakan reinfeksi dilaporkan tidak menyebabkan gejala yang teruk. Namun ia juga bergantung kepada tahap imuniti seseorang. Long Covid-19 atau Covid-19 berpanjangan juga dilaporkan selepas re-infeksi, di kalangan mereka yang telah dan tidak divaksinasi. Antara gejala Covid-19 berpanjangan ialah kelesuan dan gangguan fungsi kognitif (otak).

Kesimpulan

Situasi jangkitan semula ini dilihat sebagai satu amaran untuk kita lebih berhati-hati tentang kemungkinan munculnya varian baharu yang lebih kebal terhadap antibodi sedia ada atau yang lebih ‘ganas’ dari Omicron. Masyarakat perlu diingatkan untuk tidak terus leka tetapi mengambil sikap berhati-hati. Situasi ini juga menunjukkan betapa perlunya formulasi baru vaksin yang boleh melawan varian semasa dan yang akan datang. Nasal vaccine atau vaksin yang diberikan melalui hidung juga mungkin berkesan untuk mengurangkan penyebaran dan seterusnya memutuskan rantaian Covid-19. Kedua-dua teknologi ini masih dalam peringkat kajian dan diharapkan semoga usaha ini dapat membendung Covid-19.

Oleh: Dr Liyana Azmi (Pensyarah Mikrobiologi) &
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal)
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia