KUALA LUMPUR – Persatuan Suara Anak Pahang (PSAP) mempersoalkan mengapa isu pencerobohan nelayan asing di negara ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Menurut Presidennya, Kapten Haslihelmy DM Zulhasli, pencerobohan yang berterusan bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah menggugat sektor perikanan negara pada masa akan datang.

“Timbul persoalan, kenapa isu ini masih gagal ditangani sehingga ke hari ini sedangkan ia sudah lama berlaku dan dilaporkan?

“Apabila ia terus berlaku, Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) tidak menolak kemungkinan kehadiran nelayan asing ini dibantu pihak-pihak berkenaan yang korup demi keuntungan diri semata-mata.

“Atau mungkinkah wujud dalang atau sindiket tertentu yang menyebabkan nelayan asing dapat mengakses perairan negara dengan mudah?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, Malaysia menyatakan kegusaran berhubung insiden-insiden pencerobohan oleh nelayan asing, termasuk nelayan Vietnam.

Malah kebelakangan ini, terdapat tindakan-tindakan agresif dan provokatif nelayan negara itu terhadap penguatkuasa maritim dan juga nelayan-nelayan Malaysia dalam perairan negara.

Dalam pada itu, Haslihelmy berharap isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Ini kerana aktiviti penangkapan haram ikan di perairan Malaysia mengakibatkan nelayan-nelayan tempatan hilang punca pendapatan dan negara mengalami kerugian pendapatan.

“PSAP berharap isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara perlu dipandang serius kerajaan.

“Kerajaan khususnya pihak berkuasa perlu bertindak tegas bagi mengekang kebanjiran nelayan asing yang mencuri hasil laut negara serta menangkap pengkhianat yang bersekongkol dengan mereka.

“Undang-undang yang ketat juga perlu digubal dengan menggariskan satu mekanisme berkesan untuk menangani masalah berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette