Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Sekumpulan lima individu yang disyaki  terlibat memecah masuk premis perniagaan dan membawa lari sejumlah wang tunai dan minuman keras pelbagai jenama  tumpas di tangan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima aduan semalam dari seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus di premis perniagaan di kawasan Bandar Botanik mengenai kejadian itu.

“Dalam aduan itu pengadu telah menyatakan semalam (Khamis) jam lebih kurang pukul 11 pagi, semasa sampai di premis perniagaan terkejut apabila mendapati pintu kaca hadapan telah dipecahkan.

“Pengadu telah membuat semakan di dalam premis sebelum menyedari wang tunai dan pelbagai jenama minuman keras telah hilang disyaki disamun.

“Hasil siasatan di tempat kejadian terdapat rakaman kamera litar tertutup menunjukkan ada pergerakan suspek di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan
melakukan pecah rumah berdasarkan laporan yang diterima.

Bertindak atas maklumat, pada hari kejadian kira-kira pukul 8 malam, sepasukan polis dari Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan berjaya membuat serbuan di dua buah rumah di kawasan Bandar Bukit Tinggi dan Taman Saujana Jati.

“Hasil serbuan di kedua-dua kediaman itu polis berjaya menangkap lima orang suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 56 tahun.

“Semakan lanjut polis mendapati mereka mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

“Semasa serbuan dan tangkapan suspek, pihak polis turut berjaya merampas minuman keras yang dilaporkan hilang dan peralatan alat pecah rumah beserta pakaian yang dipakai dalam kejadian tersebut,” katanya.

Kesemua suspek telah dihadapkan ke Majistret Mahkamah Klang dan telah dibenarkan reman selama enam hari sehingga 10 Ogos ini.

Justeru katanya, pihak polis juga masih menjalankan siasatan tentang penglibatansuspek dalam kes-kes lain. – MalaysiaGazette