Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap kepada media semasa hadir pada Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2022.

JOHOR BAHRU – Pengumuman Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor dilaporkan memberi suntikan semangat baharu kepada PKR negeri itu.

Oriental Daily melaporkan, Mohd. Rafizi yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan di Selangor juga mungkin bertandling di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

Jimmy Puah yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi MPN Johor berkata, buat pertama kalinya, PKR Johor akan diterajui oleh seorang pemimpin atasan pusat dan keadaan itu menandakan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mementingkan Johor.

Katanya, rata-rata akar umbi parti menerima suntikan semangat daripada pelantikan Mohd Rafizi, tetapi ada juga yang masih terkejut dengan pelantikan yang dibuat.

Menurutnya, kesemua ketua cabang PKR Johor kecuali seorang yang kurang sihat dan seorang yang berada di luar negara telah berjumpa dengan Anwar di Negeri Sembilan sebelum ini.

“Apabila Anwar mengumumkan pelantikan yang dicadangkan, masing-masing melontarkan pandangan sebelum membuat keputusan.

“Tiada seorang pun yang membantah pelantikan Mohd. Rafizi sebagai Ketua PKR Johor, usul ini dilulus sebulat suara selepas rundingan dijalankan,” katanya kepada Oriental Daily.

Ditanya kemungkinan, Mohd. Rafizi akan “berhijrah” ke Johor dalam pilihan raya umum, Jimmy tidak menolak keadaan itu boleh berlaku.

“Akar politik beliau adalah di Selangor dan beliau mempunyai banyak pilihan jika mahu bertanding kerusi Parlimen.  Sehingga kini, kami tidak tahu lagi,” katanya.

Jimmy berkata, Mohd. Rafizi setakat Khamis belum menghubungi pemimpin PKR di Johor walaupun beliau dijangka akan berbuat demikian termasuk bermesyuarat untuk menentukan barisan kepimpinan baharu. – MalaysiaGazette