Ahmad Fadhli berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang kali ke-42 di Tasek Gelugor hari ini.

TASEK GELUGOR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengheret petualang projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang mengakibatkan kerugian RM6 bilion ke muka pengadilan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa perdana menteri tidak terbabit dalam skandal itu namun beliau tiada pasti penglibatan ahli politik lain.

“Perdana Menteri (Ismail Sabri) yang masih ada kuasa sebelum bubar Parlimen, cuba sikit tunjuk kejantanan dengan mengheret petualang berkenaan ke mahkamah.

“Jangan perbodohkan rakyat dengan alasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ada maklumat,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis di sini hari ini.

Mengulas lanjut Fadhli berkata, isu LCS bukan isu baharu sebaliknya ia sudah berlarutan lebih 10 tahun di Dewan Rakyat iaitu sejak dirinya dipilih pada tahun 2018.

Kata beliau, sudah empat kali beliau membangkitkan isu itu dalam Dewan Rakyat selain menghantar soalan lisan yang dijawab oleh Menteri Pertahanan pada 31 Oktober 2019.

“Ketika berada di pihak kerajaan, saya sekali lagi pada Disember 2020 mengajukan soalan berhubung perolehan LCS ini ketika membahaskan Bajet 2021 di peringkat jawatankuasa kementerian pertahanan dan terbaru pada Mac lalu, saya sentuh isu sama ketika membahaskan Usul Menyokong Titah Diraja.

“Justeru, apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan penyiasatan berhubung isu ini, adalah amat wajar kepada kerajaan untuk menjalankan tindakan tegas dengan mengheret petualang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Rakan-rakan di dalam PAC boleh katakan bertungkus lumus dalam tempoh dua tahun memanggil seorang demi seorang saksi selain mengadakan lawatan ke Lumut, Perak bagi meninjau isu ini secara dekat.

“PAC mempunyai bidang kuasa yang terhad dan tidak mempunyai kuasa pendakwaan sehubungan itu, saya mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini mengheret petualang berkenaan di muka pengadilan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh melaksanakan tugas sebaik mungkin sebagai Pengerusi PAC dalam membangkitkan isu membabitkan penyelewengan wang rakyat termasuk ketika era Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette