Mahmoud al-Mardi.

KUALA LUMPUR – Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al-Mardi dilaporkan telah pulang ke Jordan untuk menziarahi ayahnya yang sakit tenat.

Berita itu dikongsikan oleh Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar menerusi media sosial yang memaklumkan pemain kelahiran Aqaba itu terpaksa bergegas pulang awal.

“Saya mendapat berita sedih di awal pagi tadi (semalam) di mana ayahanda kepada pemain Kedah FC, Mahmood al-Mardi sedang sakit tenat di Jordan.

“Mahmood al-Mardi telah berlepas pulang ke Jordan sebagai menunaikan tanggungjawab seorang anak kepada ayahnya,” tulisnya.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menjejaskan semangat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak untuk membuat persiapan hadapi saingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN walaupun tanpa kelibat tonggak utama tersebut.

Mahmoud dijangka kembali menyertai Sang Kenari sebelum berlangsungnya saingan Piala AFC menentang kelab dari Indonesia, PSM Makassar FC di Bali, Indonesia pada 9 Ogos ini.

Ini merupakan peluang terbaik untuk Kedah lakar sejarah baharu mara ke perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN selepas beraksi cemerlang di peringkat kumpulan sehingga muncul sebagai juara Kumpulan G.

Kedah mara ke separuh akhir dengan penuh dramatik apabila kedudukan mereka dalam kumpulan ditentukan di perlawanan terakhir dengan hanya dipisahkan melalui perbezaan gol.

Selain hatrik dihasilkan Mahmoud Al-Mardi di perlawanan penentuan tersebut, Ronald Ngah Wanja dan Mohamad Fayadh turut mencetak nama sebagai penjaring gol Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast