KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan hasil siasatan mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkenaan projek tersebut ketika ini sudah berada di peringkat akhir.
Jelas Azam, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap projek perolehan sejak beberapa tahun lalu.
Beliau menegaskan, SPRM tidak boleh mendedahkan butiran siasatan pada waktu ini kerana ia melibatkan sensitiviti dan campur tangan banyak pihak.
Tambah Azam, SPRM sudah merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara namun tidak boleh mendedahkan butiran lanjut berkenaan perkara tersebut.
“Siasatan berkenaan perkara itu memang sudah dijalankan sudah banyak tahun, sekarang saya tak nak umumkan lagi siasatan berada di peringkat mana dan apakah keputusannya demi menjaga sensitiviti.
“Ramai yang mempersoalkan seolah-olah kami (SPRM) tidak menjalankan siasatan, banyak kali saya kata SPRM sudah siasat dan dalam peringkat akhir penyiasatan. Banyak kali saya pernah sebut perkara ini.
“Saya kena jaga sensitiviti berkaitan hal-hal penyiasatan dan juga kerahsiaan kes tersebut, ini kerana ia bukan sahaja melibatkan SPRM bahkan juga membabitkan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara,” ujarnya.
Azam menjelaskan, terpulang kepada mana-mana pihak yang menggambarkan siasatan seperti belum dijalankan dan sebagainya selain menggesa SPRM untuk menyiasat.
“Perkara-perkara ini seperti mana saya pernah sebut sebelum ini, kadangkala saya tidak dapat memaklumkan apa-apa kepada umum.
“Sesuatu perkara yang semua perlu tahu belum masanya. Ayat seumpama ini ayat melencong walhal banyak kali saya katakan, kita telah menyiasat dan berada di peringkat akhir siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pertemuan Tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini hari ini.
Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.-MalaysiaGazette