Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Lim Kit Siang .

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA)  mengabungkan beberapa parti kecil Melayu-Islam disifatkan sebagai satu langkah ke belakang.

Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang berkata, penubuhan GTA memperlihatkan Ahli Parlimen Langkawi yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu telah kembali kepada ‘pro-Melayu’.

Menurut beliau, kehadiran GTA yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir akan memusnahkan Wawasan 2020 dan konsep bangsa Malaysia.

“Saya berasa amat sedih melihat selepas hampir 100 tahun, Mahathir dari seorang yang pro-Melayu akhirnya kembali kepada pro-Melayu ketika dia mengumumkan satu pergerakan “Melayu” yang baharu – Gerakan Tanah Air untuk melawan UMNO dalam pilihan raya umum ke-15,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Ahli politik veteran itu berkata, beliau akan menjadi pro-Melayu jika terma itu bermaksud untuk mendedikasi masa dan tenaga bagi membantu masyarakat Melayu maju kehadapan terutama dari segi pendidikan dan pendapatan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan, menjadi pro-Melayu bukan bermakna anti kepada kaum lain.

Bagaimanapun Kit Siang berkata, terdapat mereka yang ingin dilihat sebagai ‘paling Melayu’ lebih daripada identiti Malaysia dan perkara ini membolehkan kumpulan itu mempromosikan idea ‘Kerajaan Melayu-Islam’.

Menurutnya, idea itu adalah mustahil untuk Malaysia kerana lebih daripada 30 peratus populasinya bukan dalam kalangan orang-Melayu.

“Saya menerima definisi pro-Melayu Mahathir sebagai bukan anti kepada bukan Melayu tetapi ada mereka yang mentakrifkan pro-Melayu sebagai ‘Pertamanya Melayu’ atau anti-bukan-Melayu.

“Namun, amat menyedihkan melihat Mahathir berpusing sepenuhnya, di mana dia membuat perkara yang dikritiknya sendiri dan sebaliknya membentuk Gerakan Tanah Air yang merupakan satu gabungan longgar kumpulan politik untuk menentang UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Kit Siang.

Beliau berkata, penubuhan GTA adalah langkah yang salah untuk sebuah negara dengan masyarakat majmuk yang akan menyambut ulang tahun ke-65 yang dalam masa sebulan dari sekarang.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar dengan (dari kanan) Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali serta yang lain pada sidang media khas mengenai penubuhan gabungan parti-parti gagasan baharu yang dinamakan Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2022.

GTA yang menjadi gabungan politik Melayu baru pimpinan Dr Mahathir berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU-15.

Dr. Mahathir yang juga pengerusi GTA berkata, gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi UMNO.

Gerakan politik itu ditunjangi oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Putra Bumiputera Perkasa Melayai (Putra) pimpinan veteran politik Ibrahim Ali, serpihan PAS Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Gerakan itu menjemput orang Melayu yang berasa curiga dengan masa depan mereka untuk menyertai gabungan itu bagi membela nasib orang Melayu.

Dr. Mahathir dalam sidang akhbarnya menjelaskan GTA adalah bertujuan untuk membela serta menyelesaikan masalah yang dihadapi orang Melayu sejak sekian lama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast