logo luar negara

ISLAMABAD – Empat orang maut manakala empat lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah konvoi ahli parlimen di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, lewat malam Sabtu, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.

Menurut laporan itu, penyerang bersenjata menyerang konvoi ahli parlimen Liaqat Ali Khan di kawasan Maidan daerah Lower Dir.

Ahli parlimen itu dilaporkan cedera parah dan dimasukkan ke hospital bersama tiga lagi mangsa.

Mereka yang terbunuh dalam serangan itu termasuk dua lelaki bersenjata, dan adik lelaki serta anak saudara ahli parlimen itu.

Pihak polis, anggota keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian.

Konvoi itu dipercayai dalam perjalanan ke sebuah kampung sebelum diserang.

Pasukan keselamatan telah memulakan siasatan di kawasan itu.

Ketua Menteri wilayah Mahmood Khan mengutuk serangan itu, sambil berkata, “mereka yang terlibat dalam serangan itu akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.”

Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab setakat ini. – Bernama