Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seorang pelajar sekolah menengah yang dicekup polis semalam kerana disyaki telah menceroboh dan melarikan dana tabung surau di Taman Keramat Permai dalam kejadian 28 Julai lalu telah direman bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek, masing-masing berumur 13 dan 21 tahun itu direman di Mahkamah Ampang pagi tadi.

“Pagi tadi kami telah menghadapkan kedua-dua suspek itu di Mahkamah Majistret Ampang dan berjaya dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sekolah curi tabung surau dicekup

Tambah beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun keseksaan iaitu melakukan kesalahan curi dalam bangunan atau premis yang digunakan sebagai tempat simpanan harta yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun, dan boleh juga dikenakan denda.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 dan dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekal

Suspek bersama rakannya telah melakukan kecurian itu menggunakan motosikal bernombor pendaftaran palsu pada 28 Julai lalu.

Kehilangan wang RM30 dari tabung Surau disedari oleh seorang pesara berusia 68 tahun pada jam 6 pagi.

Bertindak atas maklumat polis telah menangkap kedua-dua suspek di tepi Jalan 6/10, Tasek Tambahan Ampang di sini 10 malam tadi. – MalaysiaGazette