Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim ketika bercakap pada sidang media selepas Operasi PUSPAKOM Kenderaan Perdagangan di (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan prosedur pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di negara ini terutama membabitkan kenderaan perdagangan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, antara penambaikan yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan frekuensi pemantauan dan audit operasi dengan penglibatan pegawai JPJ secara mingguan untuk pemeriksaan kenderaan berat.

“Kita akan mengarahkan pihak PUSPAKOM untuk melaksanakan pemantauan operasi dalaman dengan lebih kerap di setiap cawangannya di seluruh negara.

“Kita juga akan menyemak semula prosedur pemeriksaan bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan brek, tayar dan komponen lain yang akan dikenal pasti dalam masa terdekat,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim ketika memeriksa kenderaan berat pada Operasi PUSPAKOM Kenderaan Perdagangan di (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 OGOS 2022.

Terdahulu beliau hadir membuat pemeriksaan dalam Op Khas PUSPAKOM Kenderaan Perdagangan di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM Wangsa Maju bersama pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

Tambah Zailani, operasi yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu akan disertai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara mengejut.

“Ini julung kali kita buat operasi di tempat pemeriksaan dan saya sudah minta pasukan saya melibatkan kejuruteraan automotif supaya buat pemeriksaan Op PUSPAKOM ini di seluruh negara bersama dengan SPRM.

“Ini komitmen kita bagi memastikan semua kenderaan yang melalui proses pemeriksaan di PUSPAKOM berada dalam keadaan yang cukup bersedia untuk digunakan tanpa memberi sebarang bentuk ancaman keselamatan dari segi mekanikal dan teknikal yang tidak lengkap.

“Pemeriksaan semula juga akan dibuat bagi item yang melibatkan keselamatan tinggi seperti tayar dan break. Kalau dari segi asap memang ia bukan penyumbang kepada kemalangan tetapi alam sekitar pun kita akan perhatikan lebih detail bersama pihak PUSPAKOM,” ujarnya.

Kakitangan PUSPAKOM melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan komersial dalam satu Operasi PUSPAKOM Kenderaan Perdagangan di (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 OGOS 2022.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua pengusaha pengangkutan dan pemandu kenderaan terutamanya kenderaan perdagangan agar sentiasa mematuhi semua peraturan jalanraya yang telah ditetapkan serta membuat pemeriksaan berkala di PUSPAKOM.

Terdahulu dalam Op Khas PUSPAKOM hari ini, seramai tiga orang pemandu telah ditahan kerana positif dadah dan kesemua suspek telah dibawa ke pejabat AADK.

Selain itu, sebanyak 256 kenderaan telah diperiksa dengan 158 notis turut dikeluarkan terhadap 140 kenderaan atas pelbagai kesalahan.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan terutamanya kegagalan melaksanakan aktiviti penyelenggaraan harian seperti digariskan dalam Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010. – MalaysiaGazette