TELUK BAHANG – Lima sahabat terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter berhampiran air terjun Titi Kerawang, di sini, hari ini.
Difahamkan, lima sahabat itu dalam perjalanan ke Balik Pulau untuk menyambut hari lahir dua rakan mereka iaitu S. Sakthivel dan R.Pervinkumar yang turut berada dalam kenderaan tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.03 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Teluk Bahang dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki lima lelaki terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter.

“Empat daripada mangsa berusia 21 tahun manakala seorang lagi berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan ringan akibat kejadian tersebut.
“Kesemua mereka dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut menggunakan ambulans,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah jurucakap itu, operasi tamat jam 4.44 petang tadi. – MalaysiaGazette
















