Ahmad Maslan

PONTIAN – Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu menjadi tumpuan 22,000 cawangan UMNO di seluruh negara yang bakal mengadakan mesyuarat mulai 15 Ogos ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu perlu diberi keutamaan memandangkan tempoh PRU-15 yang semakin hampir.

Selain itu, beliau turut meminta Pergerakan Wanita UMNO serta sayap Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri peringkat cawangan melakukan persiapan yang sama.

“Disebabkan tiada sebarang pemilihan parti pada tahun ini, maka ucaptama ketua cawangan, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan dan wakil bahagian perlu ke arah kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa,” katanya seperti dipetik daripada laporan Sinar Harian hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas mengadakan program Ziarah Kasih di Kampung Parit Lama, Benut.

Beliau juga berharap agar semua UMNO bahagian bersedia untuk menyelaraskan mesyuarat UMNO cawangan serta sayap-sayapnya mengikut tempoh yang ditetapkan.

Mesyuarat UMNO cawangan akan berlangsung mulai 15 Ogos hingga 18 September ini dan diikuti mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian bermula 7 hingga 9 Oktober.

Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian bakal diadakan mulai 14 hingga 16 Oktober.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 pula dijadualkan berlangsung mulai 23 hingga 26 November. – MalaysiaGazette