khairuddin mengundi muda songsang musuh Allah
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas dikatakan telah tersilap langkah apabila memilih untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukannya dengan UMNO.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menyifatkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebagai ‘parti kecil’ yang hanya bergantung kepada kekuatan parti lain.

Beliau berpandangan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya memanfaatkan hubungan yang dijalinkan dengan UMNO dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) bagi membentuk gabungan politik yang lebih kuat.

“Saya yakin sekiranya Presiden Pas mempertahankan hubungan dengan UMNO, Bersatu pasti menurut kerana Bersatu parti kecil, dia bergantung kepada Pas.

“Itu hak tok guru (Abdul Hadi) sebagai presiden, saya berbeza dengan beliau dan dalam bab ini saya yakin bahawa strateginya tidak menguntungkan Pas,” katanya seperti dipetik daripada laporan FMT hari ini.

Hubungan antara Pas dan UMNO semakin renggang sejak parti itu memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) yang turut dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Pas yang bertanding di bawah tiket PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka gagal memenangi sebarang kerusi daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili oleh calon-calon parti itu.

Pada masa yang sama, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka setelah menang 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi sedangkan PN secara keseluruhan hanya menang dua kerusi yang diwakili calon-calon Bersatu.

Selain itu, pada PRN Johor, Pas yang sekali lagi bertanding di bawah tiket PN hanya mampu meraih satu daripada 15 kerusi yang ditandingi calon-calonnya manakala BN memenangi 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

Pas juga telah memutuskan untuk bertanding menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menambah, Pas sepatutnya berusaha menyambung hubungan dengan UMNO melalui MN setelah sekian lama berseteru.

“Tetapi itu pandangan saya, mungkin saya salah sebab saya seorang (berani bersuara), barangkali tok guru betul. Tetapi saya yakin saya betul,” katanya.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dahulu lantang bersuara agar Pas mempertahankan hubungan dengan UMNO ketika pucuk pimpinan parti itu lebih cenderung memilih untuk bersama Bersatu.

Beliau mengumumkan keluar Pas pada 14 Mac lalu selepas meletak jawatan sebagai Setiausaha Dewan Ulama Pas pada 21 Februari. – MalaysiaGazette