KUALA LUMPUR – Penyelidik Sains Biojisim Universiti Malaya (UM), Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes, Profesor Madya di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains telah terpilih bersama sembilan penerima lain tahun ini yang mewakili bidang masing-masing untuk menjadi Sarjana Pelawat Fulbright (Fulbright Visiting Scholars).
Ia merupakan salah satu program di bawah Program Fulbright Antarabangsa yang mendapat tajaan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Melalui tajaan ini, para penyelidik bakal menjalankan penyelidikan, pengajaran serta aktiviti diplomasi di universiti atau pusat penyelidikan terkemuka di Amerika Syarikat (AS) selama enam bulan.
Program ini bukan hanya terhad untuk ahli akademik sahaja malah turut melibatkan golongan profesional lain seperti arkitek, doktor perubatan dan diplomat. Program Fulbright ini telah diasaskan oleh Senator Amerika Syarikat, J. Wililam Fulbright pada 1946 mendapat tajaan dana dari Jabatan Negara AS dengan kerjasama kerajaan negara-negara yang terlibat.
Penubuhannya bertujuan untuk meningkatkan persefahaman diantara rakyat Amerika dan masyarakat dunia dengan menggunakan platform program pertukaran pendidikan. Setiap calon yang terpilih mewakili negara ini, perlulah terlebih dahulu perlu menghantar permohonan mereka kepada pihak Fulbright bersama kertas cadangan projek penyelidikan masing-masing yang memfokuskan kepada isu-isu yang melibatkan hubungan AS dan Malaysia.
Saringan ketat dibuat kepada setiap permohonan oleh ahli panel yang terdiri daripada profesor terkemuka, para pegawai Kedutaan AS, Malaysian American Commission on Educational Exchange (MACEE), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
dan ASEAN Secretariat bagi memastikan hanya calon yang benar-benar cemerlang dapat dipilih.
Calon yang telah disenarai pendek akan dipanjangkan kepada J. William Fulbright Foreign Scholarship Board yang berpangkalan di Washington D.C. untuk pertimbangan akhir.
Pengumuman rasmi senarai Sarjana Pelawat Fulbright yang terpilih ini dibuat oleh MACEE dan Kedutaan AS dalam satu majlis makan malam bersama para penerima yang dirasmikan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters di ibu negara baru-baru ini.
Zul Ilham akan menjalankan penyelidikan beliau di Universiti Cornell, sebuah university Ivy League di New York dalam bidang penggunaan biojisim untuk penghasilan biobahan bermanfaat dan isu-isu berkaitan kelestarian tenaga dan alam sekitar.
Antara penerima lain bagi tahun ini ialah Aira Nur Ariana Azhari dari Institut Demokrasi dan Hal Ekonomi (IDEAS) dan Ar. Anand Krishnan yang masing-masing akan ke Universiti New York State Albany dan Universiti Brown.
Dr. Zul Ilham mengucapkan terima kasih kepada pihak Fulbright kerana memberi peluang kepada beliau untuk terpilih menjadi penerima penajaan ini. Ini satu peluang yang baik untuk membawa nama Universiti Malaya dan Malaysia
melalui kerjasama penyelidikan berkualiti dan hasilnya diharapkan nanti bakal berguna untuk meningkatkan lagi kerjasama Malaysia, negara serantau ASEAN serta AS dalam pelbagai bidang.
Pemilihan beliau dan para penerima lain sebagai Sarjana Pelawat Fulbright ini kelak turut menjadikan beliau sebagai alumni kepada para peserta Program Fullbright di seluruh dunia yang berjumlah melebihi 400,000 orang termasuk sebanyak 120,00 orang dari AS Syarikat sendiri. Kebanyakkan daripada mereka juga telah dan masih memberikan sumbangan yang signifikan kepada bidang sains, ekonomi, pendidikan dan keselamatan, di mana jua mereka berada. – MalaysiaGazette
















