GEORGE TOWN – Enam keluarga di Kampung Padang Durian, Pendang, Kedah berdepan ancaman masalah kesihatan berikutan terpaksa menggunakan air telaga berkelodak akibat tiada bekalan air paip.
Lebih membimbangkan, sisa racun dari kawasan sawah berhampiran turut dikatakan menyerap masuk ke dalam telaga yang digunakan penduduk untuk rutin harian mereka.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati air telaga yang digunakan penduduk kampung berada dalam keadaan keruh serta berwarna kekuningan.
Kata beliau, keadaan itu menjadi lebih serius ketika hujan yang mana ia kelihatan seperti warna teh susu kerana dicemari sisa lumpur.

“Kita percaya jika masalah ini terus membelenggu kehidupan penduduk kampung itu, dibimbangi akan mengancam kesihatan mereka.
“Justeru, kita menggesa Kerajaan negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyiasat dan mengambil tindakan segera sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, penduduk, Siti Mariam Omar, 36, berkata, pakaian sekolah anaknya yang berwarna putih akan bertukar warna selepas dicuci menggunakan air telaga yang tercemar itu.
“Bagi kegunaan memasak dan minum, saya terpaksa menakung air telaga itu terlebih dulu supaya sisa kotoran mendap sebelum menggunakannya.

“Saya merayu supaya masalah ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib kerana penduduk kampung lain yang berhampiran sudah lama menikmati kemudahan bekalan air paip bagi kegunaan harian,” katanya.
Ridzuan Morad, 52, pula mendakwa dia sudah membelanjakan lebih RM3,000 selepas tujuh pam air yang dibeli bagi mengepam air telaga di rumahnya mengalami kerosakan.
“Masalah itu pernah diadukan penduduk kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan yang diambil,” katanya. – MalaysiaGazette
















