Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Serangan pemimpin parti politik ke atas penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) tertumpu kepada usaha memperlekehkan kewibawaan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali atau dikenali Tok Him berkata, bagi mereka, sekiranya mantan Perdana Menteri itu tewas, maka GTA turut berkubur.

“Banyak pihak lupa dan biar saya ingatkan kepada mereka sejarah sebelum ini dan apa yang berlaku sekarang.

“Sejak 1987 lagi, Tun Mahathir diserang dengan bermacam isu projek mega ketika veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu bertanding jawatan presiden.

“Ahli Parlimen Gua Musang itu bergabung dengan Tun Musa Hitam sehingga UMNO diharamkan dan Tengku Razaleigh atau Ku Li bersama Tun Dr. Rais Yatim menubuhkan parti baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46),” katanya kepada media hari ini.

Menurut Ibrahim, ketika Ku Li bertanding, pelbagai serangan dilakukan ke atas Dr. Mahathir dan beliau antara yang paling lantang.

“Saya salah seorang yang paling lantang. Tun Mahathir rasuah dan banyak kroni. Masa itu KLCC dalam perancangan termasuk Putrajaya, Proton, Perwaja dan lain-lain.

“Kemudian keadaan reda apabila Semangat 46 dibubarkan. Sedikit pun kredibiliti Tun Mahathir tidak terjejas manakala ketika Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP, Tun Mahathir juga diserang bertubi-tubi.

“Semua pihak ingat Mat Sabu serang Tun Mahathir sebagai Mahafiraun bersama pemimpin Pas yang lain. Macam-macam tuduhan ke atas mantan Perdana Menteri itu,” ujarnya.

Akhirnya, kata beliau, tidak ada apa pun kesan kepada Dr. Mahathir malah beliau berjaya pula menubuhkan parti Bersatu dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Penyertaannya bertujuan untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) yang mana Mat Sabu ketika itu tiba-tiba menjadi hulubalang Dr. Mahathir.

Menurut Ibrahim, beliau tidak menyertai Bersatu kerana parti itu bersama PH yang ada DAP.

“Saya tidak mahu menyusahkan Tun Mahathir kerana pendirian saya tegas dengan agenda Melayu dan Islam. Allah Maha Kaya. Tan Sri Muhyiddin Yassin merampas parti Bersatu kerana hendak menjadi perdana menteri dan memaksa Tun Mahathir berundur dan misinya berjaya menumbangkan BN tapi dalam tempuh 22 bulan, apa sangat boleh dibuat.

“Apabila kemelut negara tidak reda dan orang Melayu semakin tenat, Tun Mahathir tampil kembali demi agama, bangsa dan tanah air melalui GTA,” katanya.

Katanya, bagi yang ada akal budi seharusnya bersyukur atas kesudian Dr. Mahathir yang sudah berumur 97 tahun masih sedia berjuang demi rakyat.

Begitu juga kepada pengkritik Pengerusi Pejuang itu yang melemparkan pelbagai tuduhan dan ada juga laporan polis dibuat namun sehingga kini, tidak ada satu pun pendakwaan terhadap Dr. Mahathir dibuat.

Ujar beliau, pelbagai fitnah turut dilemparkan seperti mendakwa Dr. Mahathir mempunyai harta berbilion ringgit di Taiwan dan luar negara sedangkan namanya serta anak-anaknya tidak ada dalam senarai Pandora Papers.

Jelas Ibrahim lagi, Putra menyertai GTA kerana Dr.  Mahathir jenis pemimpin yang ‘menggenggam bara api sampai jadi arang’ dan perjuangan pusingan akhirnya adalah untuk agama, bangsa dan negara.

“Perjuangan GTA adalah demi menyelamatkan tanah orang Melayu, selain untuk mengembalikan Malaysia ke jalan yang betul. Semoga orang Melayu dan rakyat selamat dan sejahtera, jika tidak Melayu akan musnah.

“Saya tidak pilih wadah lain atau bersama pemimpin lain kerana siapalah saya yang kerdil ini, manakala Tun Mahathir terus mengiktiraf kesungguhan saya demi agenda Melayu.

“Tun Mahathir tetap negarawan terulung negara bertaraf dunia. Jasanya tidak terbilang. Saya ikut Tun Mahathir kerana agenda Melayu dan Islam tetapi selepas ini jika ada pihak menjual, kita sedia membeli. Mereka garu belakang kita, kita akan garu belakang mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bertaraf dunia? Perjuangan Melayu? Selepas Medey cium mulut dgn DAP ko panggil dia pejuang Melayu? haaa lawak lah

Comments are closed.