KAJANG – Seramai 175 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari beberapa negara jiran ditahan dalam Operasi Kutip (Ops Kutip) atas pelbagai kesalahan imigresen di sekitar Kompleks Hentian Kajang, di sini, 12 tengah malam tadi.
Mereka yang ditahan itu merupakan sebahagian daripada 425 orang warga asing yang diperiksa oleh anggota Jabatan Imigresen (JIM) yang diserbu di 134 kediaman di enam blok bangunan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, 132 tahanan adalah lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan warga asing yang berusia antara dua hingga 55 tahun.
“Mereka yang ditahan dalam operasi ini membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka serta seorang warga India” katanya dalam sidang media selepas operasi di lokasi serbuan, pagi tadi.
Menurut Khairul Dzaimee, Kompleks Hentian Kajang sudah lama diperhatikan pihaknya selepas memperoleh beberapa aduan mengatakan ramai warga asing mendiami di sekitar kawasan berkenaan.
“Semasa serbuan dilakukan, beberapa anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu kediaman kerana ada di antara warga asing enggan memberi kerjasama membuka pintu rumah.
“Dalam operasi ini, kami turut menahan warga asing pencari suaka warga Myanmar dari etnik Shan yang mempunyai dokumen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini.
“Hasil dari pemeriksaan dan soal siasat ringkas yang dilakukan, kami turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine yang membawa PATI tinggal bersama” tambah beliau.
Beliau berkata, majoriti warga asing yang ditahan itu bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan berhampiran.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga Indonesia nekad terjun dari tingkat empat salah sebuah bangunan rumah kedai di lokasi berkenaan demi menyelamatkan diri dari ditahan JIM yang sedang membuat serbuan.
Sudah jatuh ditimpa tangga, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu gagal apabila kaki kanannya dipercayai patah akibat terjatuh ketika cuba meloloskan diri.
Difahamkan, lelaki itu terjun melalui tingkap rumah sewanya yang didiami bersama dua rakan yang juga warganegara sama, namun tersangkut di bumbung tingkat dua dan kemudian jatuh ke tingkat bawah sebelum cuba melarikan diri ke belukar berhampiran.
Usahanya yang memakan diri itu jadi sia-sia apabila dia ditahan anggota penguat kuasa.
Lelaki itu bertindak sedemikian kerana ketakutan memandangkan pasportnya telah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu.
Sementara itu dalam operasi sama, JIM turut menemui sebuah pusat judi dalam talian yang dikawal ketat.
Ketika pihak imigresen berjaya memecah masuk premis terbabit, bau rokok yang dihisap pengunjung masih segar jelas menunjukkan tempat itu baru sahaja dikosongkan melalui tingkap yang diumpil.
“Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) menemui kira-kira 20 buah komputer dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian,” kata Khairul Dzaimee.
Mengulas lanjut mengenai laluan masuk PATI ke negara, beliau berkata, kebanyakan dari Indonesia yang ditahan dipercayai memasuki negara ini menggunakan laluan laut menerusi pintu masuk di Johor, manakala Myanmar dari Kedah.
Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette