Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis.

Yahaya, anak kelahiran Batu Pahat berkhidmat selama hampir 36 tahun di dalam JBPM dengan menyandang pelbagai jawatan akan bersara wajib pada 14 Ogos ini.

Beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah JBPM Johor selama tiga tahun dan 10 bulan.

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap daripada Yahaya Madis dan Timbalan Pengarah JBPM Johor, Mohd Rizal Buang di Johor Bahru semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani.

Pada pertemuan bersama Sultan Johor, Yahaya turut mempersembahkan laporan terkini pemeriksaan bangunan-bangunan istana termasuk di daerah-daerah.

“Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda diatas pengurniaan SIJ. Ini bukan sahaja merupakan satu penghargaan kepada saya, malah buat seluruh JBPM Johor.

“Saya juga amat berharap hubungan rapat antara Istana Johor dan Bomba Johor akan diteruskan oleh Pengarah JBPM Johor yang baharu nanti,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.-MalaysiaGazette