MARAN – Polis menahan empat ahli ‘Geng Mamat’, termasuk seorang wanita, yang disyaki mencuri pelbagai peralatan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Maran dalam berapa serbuan semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, suspek didapati mula menjalankan aktiviti jenayah itu sejak April tahun lalu dan serbuan tersebut membawa kepada penemuan peralatan pembinaan bernilai RM30,000.
“Serbuan pertama yang dilakukan berjaya menahan satu pasangan menganggur, masing-masing berusia 21 dan 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Ling, Maran,” katanya dalam sidang media hari ini.
Susulan serbuan itu, tambah beliau, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Pasir.
Manakala seorang pemuda berumur 19 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di sebuah rumah di Jalan Kampung Pertanian, Pekan Tajau di kira-kira jam 11.30 malam semalam, katanya.
“Dalam pada itu, sepeket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.13 gram turut dirampas dipercayai bagi kegunaan ahli sindiket itu sendiri,” tambahnya.
Norzamri berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis metamfetamin dan dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Jelasnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket itu menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam di tapak pembinaan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Norzamri berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta Proton Iswara, selaras senapang angin dan sepasang gari yang disyaki digunakan sindiket itu untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas.
Tambah beliau, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga hari ini sebelum disambung reman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette