Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) menyerahkan replika sumbangan cek berjumlah RM 20,000 kesemuanya kepada Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah hari ini.

KUANTAN – Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) menyumbang RM20,000 kepada Pusat Susu Bonda Halimatussaadia hari ini.

Pengerusi Teratai, Datin Seri Datuk Burhah Mohammed berkata, sumbangan berkenaan bertujuan menggantikan selimut bayi di Unit Jagaan Intensif Neonatal (NICU) Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

“Teratai dan Puspanita telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 setiap persatuan bagi tujuan penggantian selimut bayi di NICU SASMEC@IIUM pada hari ini.

“Sumbangan berjumlah  RM20,000 tersebut itu sebagai tanda menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong semasa menyempurnakan perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia 26 Julai 2022 yang lalu,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Burhah, seramai 10 ahli Teratai dan 10 ahli Puspanita hadir pada sesi penyerahan sumbangan sebagai tanda sokongan kepada tabung susu ibu itu.

Datin Seri Datuk Burhah Mohammed (bertudung merah jambu)

Sumbangan diserahkan oleh isteri kepada Menteri Besar Pahang itu kepada kepada Pengarah Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah SASMEC@IIUM, Prof Datuk Dr. Mohamed Saudi Awang.

Hadir sama Datin Seri Kamariah Mohamad, Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Pahang, yang juga isteri kepada Setiausaha Kerajaan Pahang.

Pusat Susu Bonda Halimatussadia mula operasi pada akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif Hospital Mesra Bayi SASMEC @IIUM – MalaysiaGazette