Pelabuhan Singapura

SINGAPURA – Pertumbuhan ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua 2022, lebih pantas berbanding 3.8 peratus dalam suku pertama, kata Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu (MTI).

Namun, dalam laporan Prestasi Ekonomi Dalam Suku Kedua 2022 yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Singapura bagi tahun ini kepada 3.0-4.0 peratus daripada 3.0-5.0 peratus sebelum ini berikutan perkembangan terkini ekonomi domestik dan global.

Bagi asas pelarasan musim suku ke suku, ekonomi tersebut telah menguncup sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding peningkatan 0.8 peratus pada suku pertama 2022.

Menurut MTI, sektor pembuatan pula mencatat pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun daripada peningkatan 5.5 peratus pada suku sebelumnya.

“Pertumbuhan dalam suku berkenaan telah disokong oleh pengembangan output dalam kluster kejuruteraan pengangkutan, pembuatan am, elektronik dan kejuruteraan kejituan yang ternyata mengimbangi penurunan output dalam kluster pembuatan bioperubatan dan bahan kimia,” katanya.

Dalam pada itu, sektor pembinaan berkembang 3.3 peratus tahun ke tahun berbanding 2.4 peratus dicatatkan pada suku pertama 2022, didorong oleh peningkatan output pembinaan sektor awam dan swasta.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan pula tumbuh sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada 4.3 peratus dalam suku sebelumnya.

“Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh segmen pengangkutan udara yang menyaksikan pengembangan memberangsangkan susulan kenaikan ketara jumlah penumpang yang dikendalikan di Lapangan Terbang Changi selepas Singapura melaksanakan Rangka Kerja Perjalanan Vaksinasi (VTF) pada akhir Mac lepas,” katanya.

Bagaimanapun, sektor penginapan menguncup sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun, sekali gus meneruskan penurunan 9.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Prestasi sektor itu akan terus dijejaskan oleh penurunan permintaan kerajaan bagi kemudahan kuarantin serta keperluan berada di rumah yang dilaksanakan setahun lepas, biarpun permintaan meningkat akibat pemulihan kedatangan pelancong asing susulan daripada pelaksanaan VTF,” katanya.

Bagi prospek ekonomi 2022, MTI berkata persekitaran ekonomi global yang kian buruk sejak Mei lepas dengan tekanan inflasi yang lebih ketara daripada jangkaan awal dan dasar monetari lebih ketat, dijangka terus memberi impak ke atas ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan zon Eropah.

China pula terus mengalami masalah penurunan pasaran hartanah yang ketara selain penularan COVID-19 yang berulang.

“Gangguan ini dijangka berterusan bagi tempoh berbaki tahun ini ketika faktor-faktor penting seperti konflik Rusia-Ukraine dan dasar sifar COVID-19 China terus ketara.

“Kadar pertumbuhan ekonomi di AS pula dijangka perlahan pada separuh kedua 2022 berbanding separuh pertama tahun sama. Ekonomi zon Eropah diunjur menyaksikan kadar pertumbuhan lebih perlahan pada separuh kedua 2022,” katanya.

Di Asia, pertumbuhan KDNK China dijangka meningkat pada separuh kedua 2022, didorong oleh desakan kerajaan bagi meningkatkan lagi perbelanjaan infrastruktur.

Menurut MTI, ekonomi utama Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand, diunjur berkembang pada kadar lebih pantas dalam separuh kedua 2022, disokong oleh pemulihan permintaan domestik dan pelancongan susulan kelonggaran sekatan COVID019 selain permintaan berterusan bagi eksport barangan.

Prospek permintaan luaran Singapuran pula kekal lemah berbanding tempoh tiga bulan lepas manakala risiko penurunan ekonomi global juga kekal signifikan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast