Matawang negara Ringgit Malaysia (RM). foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel penting untuk mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran dan menyokong ekonomi meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

Sehubungan itu, kerajaan menerusi BNM akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan dan mendalam untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit, kata Menteri Kewangan.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menambah, pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

”Sehubungan ini, kerajaan akan terus menguruskan risiko-risiko perkembangan domestik dan luaran, dan BNM juga bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing untuk mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Md Nasir Hashim yang bertanya adakah Kementerian Kewangan akan menetapkan nilai pertukaran ringgit dengan dolar Amerika bagi menstabilkan mata wang tempatan itu.

Beliau berkata, tambatan ringgit juga bukan satu dasar terbaik untuk ekonomi Malaysia, justeru BNM tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar.

Katanya, nilai mata wang tempatan telah menurun 6.5% berbanding dolar AS tahun ini, sejajar dengan pergerakan mata wang negara serantau dan negara maju.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan pasaran kewangan stabil dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kecairan dan daya tahan pasaran mencukupi bagi mengelakkan ketidakstabilan ringgit.

Beliau menjelaskan,  seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

Contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan seandainya kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat sebanyak 325 mata asas (atau 3.25 peratus) secara keseluruhan pada 2022, maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza daripada Amerika Syarikat (AS).

”Dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS,” katanya.

Tambahnya, sekiranya langkah tambatan tersebut dilaksanakan, ia perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal.

Namun, tindakan ini akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia. – MalaysiaGazette