Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Naib Menteri Ekonomi, Perdagangan dan industri Jepun, Iwata Kazuchika (kiri) bergambar selepas majlis pembukaan Seminar Perniagaan bersempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 (DPT 2.0) membuka ruang dan peluang kepada Malaysia serta Jepun untuk meneroka kerjasama dalam sektor baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama kedua negara itu menjadi keutamaan, sekali gus memberikan manfaat bersama.

Kata beliau, DPT 2.0 menjurus kepada bidang pelaburan dan perdagangan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan teknologi dan infrastruktur, di samping mengekalkan teras pembangunan modal insan.

“Saya bangga hubungan ekonomi dua hala yang erat ini dimanifestasikan melalui peningkatan dalam jumlah perdagangan dua hala yang memberangsangkan sejak dasar ini diperkenalkan.

“Jepun kini merupakan rakan dagang keempat terbesar dan menjadi antara sumber pelaburan asing yang utama bagi Malaysia.

“Sesungguhnya, setiap cabaran memberi peluang kepada kita untuk lebih berinovasi. Ini jelas apabila pandemik Covid-19 menyaksikan peningkatan dan perubahan penggunaan teknologi digital yang ketara dalam kehidupan harian kita pada masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ismail berharap, cabaran global akan menjadi pencetus kepada pembentukan kerjasama DPT bagi kepentingan bersama Malaysia dan Jepun dalam bidang serta projek baharu terutama merancakkan aktiviti perdagangan agar ekonomi kembali pulih dengan cepat.

Katanya, ketika Persidangan Antarabangsa ke-27 Nikkei mengenai “Masa Depan Asia” di Tokyo pada Mei lalu, beliau telah mencadangkan supaya rantaian bekalan serantau menjadi lebih berdaya tahan melalui sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara pembangunan kapasiti ke arah memperkuatkan ketahanan rantaian bekalan tempatan.

Menurut beliau, pertemuan dengan Perdana Menteri, Fumio Kishida turut memperkukuhkan hubungan Malaysia – Jepun, selain mencadangkan supaya hubungan dua negara itu dinaik taraf kepada ‘Comprehensive Strategic Partnership’.

“Berdasarkan jalinan perdagangan yang mendalam antara Malaysia dan Jepun, saya ingin mencadangkan agar kedua-dua negara dapat meneroka kerjasama bagi menangani isu berkaitan rantaian bekalan melalui platform DPT.

“Pencapaian kerjasama yang melangkaui lebih empat dekad antara Malaysia dan Jepun kini lebih tertumpu kepada bidang baharu selaras dengan revolusi teknologi yang telah memberi perubahan kepada landskap perindustrian dan ekonomi global,” katanya.

Kata Ismail, kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, autonomous system dan internet pelbagai benda yang menyaksikan Jepun mempunyai kepakaran yang tinggi perlu dipertingkatkan.

Ini, katanya, akan dapat menjamin kemampanan DPT untuk tahun mendatang.

“Saya harap kerajaan Jepun akan memberikan sokongan padu berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan melalui pelaksanaan projek usaha sama di bawah DPT.

“Saya menggesa juga agar bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat diterokai kedua-dua negara melalui projek dan program yang dilaksanakan di bawah DPT.

“Ini termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, Sains, Teknologi dan Inovasi serta pertumbuhan hijau,” katanya.

Menurut Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022, isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik Covid-19 dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pada masa sama, pelaksanaan DPT juga menitikberatkan limpahan faedah yang seimbang kepada kedua-dua negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri halal dengan Jepun.

Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat tinggi membangunkan industri halalnya. – MalaysiaGazette