Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

“Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan SPRM menyegerakan siasatan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tegas beliau, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan siasatannya mengenai projek LCS.

Antara lain, laporan itu mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang yang bertanggungjawab menukar rekabentuk LCS yang tidak diminta pihak TLDM sebagai pengguna akhir.

Laporan itu turut menyimpulkan terdapat banyak penyelewengan dalam projek yang menyebabkan kelewatan penghantaran dan subkontraktor tidak dibayar. – MalaysiaGazette