Kanak-kanak sedang mengikuti pendidikan di sebuah sekolah di Kandahar, Afghanistan. foto Global Partnership for Education. - Gambar hiasan

KABUL- Lebih 400 sekolah swasta ditutup kerana pelbagai sebab termasuk masalah ekonomi, lapor saluran televisyen tempatan Tolonews.

Tolonews memetik Zabihullah Furqani, ahli Kesatuan Sekolah Swasta, sebagai berkata, ramai pelajar berhenti sekolah kerana kemiskinan.

Manakala kanak-kanak perempuan dari darjah enam hingga 12 tidak boleh menghadiri kelas di bawah sekatan semasa.

Zabihullah Mujahid, ketua jurucakap pentadbiran Taliban, dilaporkan berkata, sekatan ke atas kanak-kanak perempuan menghadiri sekolah adalah berdasarkan sebab agama.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan berkata, penutupan sekolah perempuan di atas darjah 6 adalah sementara dan akan diteruskan dalam rangka kerja Syariah atau undang-undang Islam, pada masa hadapan.

Bekas Ketua Kesatuan Sekolah-sekolah Swasta, Mohammad Daud berkata, penutupan sekolah itu akan menyebabkan beribu-ribu orang akan kehilangan pekerjaan.

Afghanistan menghadapi masalah ekonomi yang melampau sejak Kerajaan Amerika Syarikat (AS) membekukan hampir AS$10 bilion aset Bank Pusat Afghanistan berikutan kekalahan tentera AS dan penarikan diri dari Afghanistan pada Ogos tahun lalu. – Xinhua