Tangkap layar kejadian lelaki yang dirakam membelasah dua individu berpakaian jubah putih di sebuah pusat tahfiz semalam

KUANTAN – Dua daripada tiga lelaki yang membelasah seorang ustaz dan pelajar tahfiz Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, di Kuala Lipis , petang semalam telah ditahan reman pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, kejadian berlaku di berlaku  pada pukul 5.10 petang semalam selepas mangsa didatangi lima suspek.

Mereka dikatakan  tidak berpuas hati dengan ustaz tersebut, berpunca isu pembayaran makanan di pusat tahfiz berkenaan.

“Tiga daripada suspek telah menyerang mangsa serta seorang pelajar tahfiz lain dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya satu laporan dibuat salah seorang pelajar tahfiz itu di Balai Polis Kuala Lipis dan polis telah menahan dua suspek di kawasan Damak, Jerantut dalam beberapa serbuan dijalankan awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid dilaporkan menerima empat jahitan di bahagian mata sebelah kanan, cedera dan lebam di badan akibat perbuatan suspek, manakala pelajar terbabit hanya cedera ringan di badan.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 15 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Sekyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan.

Azli berkata, polis juga telah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek yang masih bebas dan usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan.

Terdahulu, tular beberapa video klip di media sosial kejadian beberapa lelaki menceroboh kawasan sebuah pusat tahfiz. 

Mereka dirakam memukul dan menyepak dua individu berpakaian jubah putih.-MalaysiaGazette