PETALING JAYA – Dengan mengandaikan pilihan raya umum akan diadakan pada November, DAP telah mengaktifkan hitung undur atau countdown selama 100 hari yang bermula Ogos.
Sinchew Daily melaporkan, di bawah hitung undur tersebut, DAP akan mengaktifkan jentera persiapan pilihan raya termasuk mengkehendaki akar umbi mengadakan program kemasyarakatan setiap hujung minggu.
Sumber berkata, program itu boleh diibaratkan senaman untuk memanaskan badan sebagai persiapan untuk melangkah ke Putrajaya.
“Pemimpin parti meminta semua jentera pilihan raya diaktifkan. Pengerusi dan pemimpin negeri, pengarah pilihan raya dan wakil-wakil rakyat telah menerima makluman ini.
“Jawatankuasa persiapan pilihan raya pusat akan menyenaraikan apa yang perlu dilakukan selepas bermesyuarat dengan pengerusi persiapan pilihan raya negeri,” kata sumber.
Katanya lagi, pemimpin parti juga meminta pemimpin DAP tempatan untuk bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain untuk memulakan jentera pilihan raya.
Jelasnya, banyak “aktiviti rutin” DAP sebelum ini terjejas oleh pandemik dan kini merupakan masa terbaik untuk mengaktifkan semula selari dengan pembukaan semula kegiatan sosial. – MalaysiaGazette