KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak, serta permintaan domestik dan luar yang terus kukuh berikutan peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan antarabangsa.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, momentum pertumbuhan ekonomi dijangka terus kukuh pada suku suku ketiga 2022, didorong oleh prestasi perdagangan luar dan sektor pelancongan yang memberangsangkan.
Namun, kerajaan sentiasa berwaspada bagi tempoh separuh tahun kedua 2022 memandangkan prospek ekonomi masih berhadapan dengan risiko pertumbuhan yang lebih sederhana berikutan ketidaktentuan ekonomi global terutama konflik Rusia- Ukraine yang berpanjangan.
Selain itu prestasi ekonomi China yang perlahan berikutan pelaksanaan langkah ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
Risiko-risiko tersebut telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2022 daripada 3.6% kepada 3.2%, katanya yang mengulas prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang merekodkan 8.9% pada suku kedua.
Selain itu, tekanan inflasi yang lebih tinggi berikutan harga komoditi dan makanan yang dijangka meningkat, serta gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan turut menjadi faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.
Buat masa ini, menurut beliau, Kementerian Kewangan sedang giat menyediakan Bajet 2023 melalui konsultasi dan sesi libat urus bersama pelbagai sektor-sektor ekonomi dan negeri-negeri bagi memastikan belanjawan yang dibentangkan memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia.
”Antara tumpuan Bajet 2023 termasuklah pengurusan subsidi yang lebih mampan, usaha pembaharuan ekonomi, serta memperkukuhkan daya tahan negara terhadap sebarang kejutan pada masa depan.
”Inisiatif berkaitan kelestarian turut diambil kira dengan lebih meluas dalam Bajet 2023 susulan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19, Bajet 2023 juga akan terus
mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial. Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diutamakan bagi memastikan pertumbuhan mampan serta peningkatan daya saing perniagaan dan rantaian nilai.
‘Melangkah ke hadapan, Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi, dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette