Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa merencanakan pelbagai usaha dari segi pembelajaran dalam kalangan murid dan pelajar dari suku Negrito.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bagi menjayakan usaha itu kementeriannya dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi menjalin pelbagai usaha yang menyeluruh termasuk kerjasama strategik secara berkala.

Kata beliau, bagi sesi persekolahan tahun ini, pihaknya merekodkan seramai 464 murid dan 256 pelajar dari suku kaum itu yang melibatkan Jahai, Kensiu, Lanoh, Kintaq, Batek dan Mendriq sehingga Mei lalu.

“Berdasarkan rekod keputusan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) tahun ini pula, 26 pelajar Orang Asli suku kaum Negrito telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021.

“Dari jumlah itu, 11 pelajar layak mendapat sijil, enam layak mendapat penyataan dan sembilan tidak layak mendapat sijil atau pun penyataan.

“Malah, sembilan pelajar dari Kelantan dan Pahang berjaya ditempatkan di Kolej Komuniti di Jeli, Kolej Komuniti Raub, Kolej Komuniti Manjung dan Kolej Komuniti Gerik,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pelajar itu telah ditawarkan program Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Pembuatan Kasut dan Kraf Kulit serta Sijil Servis Kenderaan Ringan.

Dalam usaha meningkatkan jumlah pelajar Orang Asli ke institut pengajian tinggi (IPT) pula, katanya, JAKOA telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi menempatkan mereka melalui laluan khas ke program sijil.

“Sebagai contoh, tahun lalu 74 pelajar telah diterima masuk secara berkelompok dan ditawarkan pelbagai bidang merangkumi Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Teknologi Maklumat, dan Sijil Servis Kenderaan Ringan.

“Perintis pendidikan bagi lokasi terpencil bermula dengan program khas pendidikan komuniti setempat.

“Guru-guru terpilih akan mengadakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di lokasi yang dikenal pasti seperti di PROKHAS Aring 5 yang mempunyai 54 pelajar Orang Asli sebelum masuk ke institut pendidikan arus perdana,” katanya.

Menurut beliau, JAKOA melalui KPLB sentiasa komited dalam memastikan pembangunan pendidikan masyarakat Orang Asli dapat dipertingkatkan dan akan terus menikmati manfaat dalam bidang pendidikan sejajar dengan masyarakat arus perdana. – MalaysiaGazette