Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) digesa supaya menjawab sebarang tuduhan liar yang dibuat oleh musuh parti dalam tempoh tiga jam bukan keesokan harinya.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, itu merupakan petua yang perlu diamalkan dalam zaman media sosial sekarang.

Katanya, musuh BN ketika ini menggunakan isu kapal tempur pesisir (LCS) untuk mengelirukan rakyat dan disebabkan itu Wanita BN perlu bantu serangan yang dibuat.

“Saya menggunakan Facebook untuk menjawab setiap kali mereka cuba untuk menghasut rakyat. Kalau ada apa-apa isu jawab dalam tempoh tiga jam…jangan tunggu sampai hari esok. Dan wanita kena faham isu berkenaan LCS macam isu 1MDB pada PRU yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada slot Bicara Tokoh sempena Konvenyen Wanita BN di, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Dalam pada itu, Najib melontarkan enam persoalan kepada musuh BN berhubung isu LCS yang tidak dijawab sehingga sekarang.

Katanya, persoalan yang dibangkitkan ialah mengapa selepas BN tewas pada PRU-14 lalu, kemajuan membina kapal itu meningkat sehingga 53 peratus.

Tambah beliau, soalan itu tidak dijawab oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan juga Veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Kenapa, sebab niat mereka itu nak mempersalahkan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette