SUBANG JAYA – MIC menyasarkan membawa 75 peratus pengundi India di negara ini kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang akan datang.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan prestasi komponen parti BN itu dalam membantu meraih undi India pada pilihan raya kecil yang dilalui sebelum ini.
“Kita kena menang dan bekerja di semua tempat supaya BN dapat menerajui semula kerajaan dan pastikan undi kaum India kembali kepada BN.
“Sasaran kita PRU akan datang 75 peratus kaum India mengundi BN kalau dapat 68 hingga 70 peratus pun boleh,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Negeri Selangor Ke-75 dan 76 di sini hari ini.
Jelas beliau, jentera MIC kini semakin bersedia membantu BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sekarang MIC lebih bersedia untuk menghadapi PRU ia dapat dirasai oleh kepimpinan UMNO mereka telah berterima kasih kepada MIC apabila dapat membawa undi India sebelum ini.
“Tetapi itu bukan sahaja kesudahan tapi permulaan kita kena pastikan gentera akar umbi bukan sahaja di kawasan yang MIC bertanding kita akan teta gerakkan jentera kalau UMNO tidak menang kita tidak akan jadi kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, bukan hanya pucuk pimpinan MIC malah akar umbi juga perlu meneruskan komitmen masing-masing untuk memastikan kaum India mengundi BN.
Katanya lagi, ketua-ketua Cawangan MIC perlu menjadi mata dan telinga untuk melihat respon masyarakat India terhadap BN.
“Kesediaan bukan hanya penting pada pucuk pimpinan tetapi juga akar umbi di mana ketua-ketua cawanganlah yang boleh jadi mata dan telinga kepada parti dan setakat sekarang kita tidak boleh jadi itu tetapi memastikan peringkat akar umbi semua ketua cawangan perlu sedia untuk bertempur.
“Mereka perlu jadi pejuang-pejuang parti dan untuk membawa undi kaum India kepada BN,” tambahnya. – MalaysiaGazette