Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bercakap pada sidang media mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2018
Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil beberapa orang individu bagi merakam keterangan berhubung siasatan kes laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh terhadap artikel didakwa fitnah oleh Raja Petra Kamarudin terhadapnya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telahpun menerima ‘lampu hijau’ daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Kita baru terima hari ini arahan OTI (Order to Investigate) iaitu Arahan Menjalankan Siasatan daripada TPR maka beberapa pihak akan dipanggil untuk ambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Amar Singh akan buat laporan polis terhadap Raja Petra

Amar Singh sudah buat laporan polis terhadap Raja Petra

Justeru kata Noor Delhan, polis juga sudah selesai merakam percakapan daripada pengadunya, Amar.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, polis telah memohon profiling video tersebut dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi siasatan lanjut.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan akan dirujuk kepada TPR untuk arahan dan tindakan seterusnya dalam perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, Amar Singh mengesahkan beliau telah membuat laporan polis terhadap blogger, Raja Petra kerana didakwa memfitnahnya menerusi sebuah portal berita tempatan kononnya beliau telah membenarkan seorang wanita yang disyaki teman wanitanya memasuki rumah Najib semasa serbuan dan membawa keluar dua beg yang berisi sejumlah wang besar dan barang kemas.

Amar menyifatkan dakwaan oleh Raja Petra menerusi kenyataan sebegitu sambil bersembunyi di United Kingdom adalah berniat jahat, tidak berasas sama sekali dan mengecewakannya.

Dalam pada itu, Noor Dellhan menerusi satu kenyataan media pada hari yang sama juga mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah ( IPD) Dang Wangi telah menerima laporan polis daripada bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu ke atas Raja Petra.

Berikutan laporan polis itu, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette