Sean Eugene Selvaraj (kanan).

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan untuk mencalonkan gol yang dijaringkan Sean Eugene Selvaraj untuk bertanding dalam Anugerah Puskas 2022.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 pada 11 Ogos lalu.

“Jawatankuasa mengesahkan untuk gol yang dihasilkan pemain Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai 2022 dihantar secara rasmi cadangan pencalonannya ke FIFA untuk Anugerah Puskas FIFA 2022,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram.

Gol yang dijaringkan Sean mendapat perhatian seluruh dunia termasuk FIFA yang turut berkongsi momen itu di media sosialnya.

Sebelum ini, Malaysia pernah mencipta sejarah apabila jaringan pemain Penang, Faiz Subri menerusi sepakan percuma ketika menentang Pahang diangkat sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016.

Jika gol tersebut memenuhi syarat sah Puskas, maka gol itu layak untuk dicalonkan.

Kebiasaannya, jaringan tercantik yang memasuki calon 10 terbaik akan diundi oleh peminat bola sepak dari seluruh dunia sebelum tiga gol terbaik disenarai pendek untuk mencari pemenangnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast