Dollah Salleh (kiri).

KUALa LUMPUR – Perit kekalahan 2-5 di tangan Penang FC pada 23 Julai lalu yang menyaksikan Sri Pahang FC tersingkir di pentas suku akhir Piala FA masih dirasai oleh ketua jurulatihnya, Datuk Dollah Salleh.

Justeru, beliau melihat ia saat terbaik untuk Sri Pahang menebus kekecewaan dengan kemenangan sahaja menjadi sasaran apabila bertandang ke Stadium Bandaraya pada Khamis ini.

Namun, Dollah tidak memandang rendah akan kemampuan Penang walaupun skuad kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan itu sedang berada di dasar Liga Super.

“Saya mahu bawa Sri Pahang kembali menjadi salah satu pasukan terkuat dengan melangkah jauh dalam Piala FA tetapi tiada rezeki.

“Banyak tumpuan harus diberikan kepada Penang walaupun mereka berada di kedudukan terbawah di Liga Super, itu bukan cerminan yang mereka terlalu lemah.

“Ditambah bermain di tempat sendiri, saya percaya Penang akan berjuang habis-habisan untuk menang.

“Namun, pemain Sri Pahang sedang berada di semangat yang terbaik biar pun pemain tampak keletihan selepas tiga perlawanan berturut-turut.

“Itu yang mereka pamerkan ketika mengikat Melaka United walaupun sudah tidak bermaya di penghujung perlawanan dan saya harap semangat yang sama akan dibawa ke Stadium Bandaraya,” katanya.

Sri Pahang buat masa ini belum tewas dalam empat aksi berturut-turut pada saingan Liga Super dengan aksi terakhir menyaksikan mereka berjaya mengikat Melaka United, 2-2.

Situasi itu membantu Sri Pahang melakukan lonjakan hebat di kedudukan Liga Super apabila naik dari tangga ke-11 untuk berada di tempat kelima.

Sementara itu, Dollah agak terkejut kemampuan beberapa pemain import selepas dia mula mengambil alih pasukan sejak bulan lalu.

“Pada awalnya, saya tidak berapa yakin dengan kualiti penyerang, Steven Rodriguez sebelum kendalikan pasukan namun sejak saya datang ke sini, dia menampakkan perbezaan dan nampak selesa, mungkin kerana saya beri kebebasan pada dia untuk bermain.

“Begitu juga Sherzod Fayziev, saya ada tertanya-tanya sama ada dia mampu mengendalikan pertahanan Pahang namun dia juga semakin meningkat.

“Tidak dilupakan Kevin Ingresso, dia berjaya tampil dengan corak permainan yang saya harapkan malah menjadi gandingan terbaik bersama Nor Azam Azih di bahagian tengah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast