syed johan
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik yang memburuk-burukkan dan memfitnah pemimpin-pemimpin UMNO berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) mesti meminta maaf atas keterlanjuran mereka menghasut rakyat.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh telah menjelaskan bahawa kelewatan projek LCS adalah berpunca daripada masalah yang berlaku dalam Boustead Naval Shipyard (BNS).

Beliau menambah, Kah Woh turut menyatakan bahawa isu LCS tidak melibatkan salah guna kuasa kerajaan sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Cuma dikesali kenyataan PAC itu agak lambat kerana setelah dua minggu isu itu dipolitikkan dan beberapa pemimpin UMNO dimangsakan oleh musuh politik, baru PAC muncul menjelaskan fitnah.

“Fitnah telah bermaharajalela dan kebenaran tiba akhirnya juga. Tetapi kerosakan imej tetap juga telah berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Antara pemimpin-pemimpin pembangkang yang memanipulasi isu LCS untuk menyerang UMNO ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Mohd. Johan Rizal berkata, kempen fitnah jahat pihak lawan terhadap UMNO terbukti tidak benar.

“Pembangkang seperti DAP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), PKR dan Muda telah menggunakan isu LCS memainkan sentimen kononnya wujud rasuah melibatkan beberapa pemimpin UMNO.

“Dan paling dikesali Ketua Pemuda Pas yang berada bersama dalam kerajaan juga terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette