Gambar hiasan

KABUL – Satu letupan besar telah melanda sebuah masjid yang sesak di sini, mengorbankan 21 orang.

Kejadian itu menyebabkan 33 orang lagi cedera, kata jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran.

Letupan hari Rabu berlaku semasa solat maghrib.

Imam masjid, Amir Muhammad Kabuli dilaporkan antara yang maut.

Tidak jelas siapa di sebalik serangan itu, seminggu selepas kumpulan militan membunuh seorang ulama pro-Taliban dalam letupan bom berani mati, juga di Kabul.

Pasukan keselamatan telah menutup tempat kejadian letupan di Kabul.

Saksi mendakwa mendengar letupan kuat hingga memecahkan tingkap di bangunan berhampiran.

“Saya melihat begitu ramai orang terbunuh, malah ramai tercampak keluar dari tingkap masjid,” kata seorang saksi kepada agensi berita Reuters.

Stefano Sozza, ketua badan amal perubatan kecemasan, yang mengendalikan hospital utama bandar itu, memberitahu BBC kumpulannya sudah merawat 35 orang, termasuk kanak-kanak.

“Doktor kami… mengendalikan pesakit yang memerlukan bantuan pembedahan sepanjang malam. Kecederaan terutamanya berkaitan dengan letupan, jadi terdapat peluru di dalam badan dan kecederaan terbakar di seluruh badan mangsa,” katanya. – Agensi