Pelajar SMJK Jit Sin, Hua Ze memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM meskipun mempunyai masalah mata.

BUKIT MERTAJAM – Meskipun mempunyai masalah mata ia tidak menjadi penghalang anak seorang buruh binaan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di sini, Ho Hua Ze, 20, kekurangan tersebut tidak menjadi alasan buat dirinya memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran Matematik, Fizik dan Kimia selain A- untuk subjek Pengajian Am dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.

Jelas anak sulung daripada dua beradik, masalah ambliopia atau mata malas yang dihidapinya sejak berusia empat tahun itu dijadikan sebagai cabaran untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang guru.

“Saya tidak seperti kawan-kawan lain kerana sukar melihat papan putih semasa di dalam kelas walaupun duduk di depan.

“Bagaimanapun, mereka banyak membantu selain saya cuba meletakkan diri saya seperti rakan-rakan lain yang normal pada setiap masa,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

SMJK Jit Sin dinobatkan sebagai sekolah terbaik STPM 2021 di Pulau Pinang apabila 143 calon memperoleh kelulusan 100 peratus dengan 18 calon memperoleh PNGK 4.0.

Pasangan kembar Yeap Kai Wen dan Yeap Kai Wei menunjukkan keputusan cemerlang STPM mereka.

Sementara itu, pasangan kembar seiras, Yeap Kai Wen dan Yeap Kai Wei, 20, berkata, mereka saling memberi semangat antara satu sama lain sehingga memperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan tersebut.

“Semasa menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kami tidak terlalu bosan belajar di rumah kerana ada teman yang boleh saling mengurangkan tekanan belajar.

“Bagaimanapun kami akan ‘berpisah’ kerana saya akan menyambung pengajian di Univerisiti Teknologi Nanyang di Singapura dalam bidang kejuruteraan kimia dan biomolekul, manakala Kai Wei memilih bidang perubatan di universiti dalam negara,” ujar Kai Wen. – MalaysiaGazette