Shahidan Kassim

PUTRJAYA – Kepimpinan yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mengembalikan semula keyakinan dan sokongan rakyat kepada UMNO.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adalah salah satu bukti apa yang dibuat oleh Perdana Menteri sekarang berfungsi dengan baik dan menjadi salah satu kejayaan menangani isu rakyat.

Beliau menepis tanggapan yang mengatakan UMNO ketika ini lemah dan kenyataan dikeluarkan sesetengah pihak itu dakwanya hanya mengikut kehendak mereka sendiri dan bukan parti.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman di kawasanya di Arau, UMNO semakin kuat kerana parti itu terbukti menjaga dan membela nasib rakyat.

Jelas Shahidan, di Wilayah Persekutuan pula, beliau menjaga rakyat dan memberi perhatian kepada setiap pemasalahan penduduk dan disebabkan itu warga kota pasti akan menyokong UMNO.

“Parti lain hanya boleh menumpang cakap bagi menyeronokkan hati dan dari segi pembelaan, UMNO yang laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Kementerian Wilayah Persekutuan Sihat dan Hebat di Dewan Serbaguna (KWP) di sini hari ini.

Lebih 300 warga KWP menyertai program yang julung kali dianjurkan bertujuan untuk membudayakan kehidupan sihat dan aktif serta kelestarian persekitaran dalam kalangan warga kerja.

Shahidan berkata, UMNO semakin kuat kerana pada pengalaman Pilihanraya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka lalum Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan besar serta turut mendapat sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau berpandangan parti bumiputera dan Melayu perlu bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh bagi membantu nasib rakyat.

“Kekuatan parti bukan terletak kepada jumlah yang banyak namun yang penting adalah bersatupadu serta menyeru kepada bekas ahli UMNO kembali ke pangkal jalan untuk menjadi ahli semula atau setidak-tidaknya menjadi penyokong,” tambahnya. – MalaysiaGazette