Sanna Marin. Foto BBC

HELSINKI – Perdana menteri Finland, Sanna Marin, berdepan dengan kritikan selepas rakaman video dia sedang berparti tular.

Dalam rakaman yang dipercayai diambil daripada media sosial, Marin dan rakan-rakan termasuk selebriti Finland dilihat menari dan menyanyi.

Marin dikecam parti pembangkang, dengan seorang pemimpin menuntut beliau menjalani ujian dadah.

Bagaimanapun Marin, 36, menafikan mengambil dadah, sebaliknya hanya minum alkohol dan berparti “dengan cara yang riuh rendah”.

Perdana menteri termuda di dunia itu tidak berahsia ketika berpesta dan gambar sering diambil di festival muzik.

Tahun lalu dia memohon maaf kerana berparti selepas kontak rapat dengan kes Covid-19.

Mengulas mengenai video itu, Marin berkata, beliau tahu gerak-gerinya dirakam tetapi kecewa kerana video itu didedahkan kepada umum.

“Saya menari, menyanyi, dan berpesta – perkara yang tidak salah. Dan saya tidak pernah berada dalam situasi, yang mana saya pernah dilihat atau diketahui (mengambil dadah),” tambahnya.

Pemimpin parti pembangkang, Riikka Purra, menggesa Marin menjalani ujian dadah secara sukarela, mengatakan terdapat “keraguan” terhadap Perdana Menteri itu. – BBC