Home Politik Tahniah, puak anjur demonstrasi ‘Rakyat hakim negara’ sudah sedar – Saiful Bukhari

Tahniah, puak anjur demonstrasi ‘Rakyat hakim negara’ sudah sedar – Saiful Bukhari

Mohd Saiful Bukhari Azlan

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyindir penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menempelak pihak yang memburukkan sistem kehakiman berkaitan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Saiful Bukhari dalam hantaran di media sosialnya berkata, beliau masih ingat bagaimana kumpulan terbabit melakukan perkara sama ketika kes liwat melibatkan beliau dibicarakan di mahkamah.

Manurutnya, pada waktu itu kumpulan tersebut telah mengadakan demonstrasi serta ceramah bertajuk ‘rakyat hakim negara’ yang memburuk-burukkan sistem kehakiman.

Beliau dalam hantaran itu secara sinis mengucapkan tahniah kerana telah sedar perbuatan yang telah mereka lakukan dahulu.

“Saya setuju dengan kenyataan ini. Namun Ironinya, seingat saya, lapan tahun dahulu puak-puak ini juga yang jelajah segenap pelusuk negara.

“Anjurkan ceramah, demo bertajuk “Rakyat Hakim Negara” di mana naratifnya memburuk-burukkan dan mencerca badan kehakiman.

“Tahniah sudah kembali ke jalan yang benar, moga istiqamah. Sekian. Salam Jumaat,” katanya.

Keratan layar Facebook Saiful Bukhari Azlan

Melalui hantaran di Facebook, Saiful turut berkongsi keratan layar berita bertajuk ‘Serang ketua hakim tindakan terdesak – DAP’.

Berita tersebut melaporkan, Pengerusi Biro Media Sosial DAP, Syahredzan Johan menempelak kempen internet yang menyerang Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Lihatlah betapa terdesaknya mereka? Serang keluarga ketua hakim dan buat ancaman jelas tentang pertumpahan darah,” tulisnya di Facebook sebentar tadi.

Syahredzan turut berkongsi tulisan pengguna maya berkaitan ancaman itu serta yang mengaitkan keputusannya dengan suaminya.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang .

Mahkamah mendapati Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar diwakili sepasukan 15 orang peguam yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Polis terpaksa memasang pagar besi bagi mengasingkan kumpulan penyokong Anwar setiap kali perbicaraan berlangsung.

Malah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut dikerahkan setiap kali perbicaraan berlangsung selama tujuh tahun.

Ia merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar. Kali pertama beliau berhadapan dengan pertuduhan yang sama ketika zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette