Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki mengugut dan mengancam untuk membunuh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dimuat naik pemilik akaun Facebook bernama ‘apiez bond’.

“Hasil daripada laporan polis tersebut, polis telah berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah yang didudukinya di Puchong, Selangor pada 19 Ogos 2022 jam lebih kurang jam 11.15 malam bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan JSJ Bukit Aman untuk menjalankan siasatan terhadap ancaman dan ugutan bunuh yang diterima Tengku Maimun.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit beserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan dan ancaman itu.

ARTIKEL BERKAITAN : Polis siasat Ketua Hakim Negara terima ancaman

Menurut Skandaguru, suspek ditahan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang bertanggungjawab mengendalikan siasatan kes tersebut.

Katanya, lelaki itu telah dihadapkan ke mahkamah majistret untuk ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 23 Ogos ini untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

“Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast