Penyiasat Rusia sedang melakukan siasaatan di kawasan letupan. Foto BBC

MOSCOW – Anak perempuan kepada sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin terbunuh selepas kereta yang dinaikinya meletup.

Ketika kejadian, Darya Dugina dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri acara.

Bapa mangsa, Alexander Dugin, dikatakan seorang ahli falsafah Rusia yang dikenali sebagai “otak Putin,” yang mungkin menjadi sasaran serangan itu.

Dugin ialah seorang ultranasionalisme terkemuka yang dipercayai rapat dengan Presiden Rusia.

Alexander Dugin dan anak perempuannya dikatakan berada dalam acara perayaan berhampiran Moscow, yang mana Dugin telah memberi syarahan.

Perayaan “tradisi” menggambarkan dirinya sebagai acara keluarga untuk pencinta seni yang berlangsung di Zakharovo, yang mana pernah menjadi tempat timggal penyair Rusia, Alexander Pushkin.

Pasangan itu sepatutnya pulang dari acara itu pada petang Sabtu dengan menaiki kereta yang sama sebelum Dugin dilaporkan membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk balik berasingan.

Rakaman yang tidak disahkan yang disiarkan di media sosial menunjukkan Dugin dalam keadaan terkejut ketika perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian.

Penyiasat mengesahkan Dugina meninggal dunia di tempat kejadian berhampiran perkampungan Bolshiye Vyazemy.

Bahan letupan dipercayai diletakkan di bawah kereta di bahagian pemandu, meledak sebelum kenderaan itu terbakar.

Pakar forensik sedang menyiasat bahan letupan itu.

Seorang pegawai Ukraine telah menolak tuduhan penglibatan Ukraine dalam kejadian itu.

“Saya menekankan bahawa Ukraine, sudah tentu, tidak ada kaitan dengan ini, kerana kita bukan negara jenayah,” kata Mykhailo Podolyak, Penasihat kepada Presiden Volodymyr Zelensky.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata, jika mana-mana kaitan dengan Ukraine ditemui ia akan menyamai “keganasan negara”. – BBC