M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan meminta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk ‘belajar’ perkara asas dan perlembagaan parti Barisan Nasional (BN) sebelum teruja membuat apa-apa kenyataan.

Ini kerana Nur Jazlan seolah-olah mendahului presiden parti dengan cuba menentukan calon mana bertanding di mana apabila mencabar Saravanan untuk bertanding kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sebenarnya saya kalau boleh malas hendak layan tindakan kebudak-budakkan dan terdesak oleh Nur Jazlan.  Dia ini seperti tidak tahu asas parti. Kalau tidak tahu atau faham, tolong pergi fahamkan dulu. Ajak saya bertanding di Parlimen Pulai?

“Tetapi bukankah hanya kepimpinan tertinggi dalam komponen boleh tentukan isu calon dan kerusi mana bukan? Kali terakhir saya semak, Presiden MIC adalah Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden BN pula Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka berdua yang boleh tentukan tempat saya bertanding sebenarnya. Saya ataupun Nur Jazlan tidak boleh sesuka hati pilih mana hendak tanding. Nur Jazlan tidak boleh main ajak-ajak saya dan saya juga tidak boleh untuk sesuka terima cabarannya. Faham?

“Tolong berhenti berlagak seperti anda presiden parti. Tolonglah berhenti buat kenyataan membuang masa seperti ini,” katanya ketika di hubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Nur Jazlan cabar Saravanan bertanding di Pulai

Sebelum ini, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu membuka laluan kepada Saravanan yang merupakan Ahli Parlimen Tapah untuk bertanding di kawasan berkenaan setelah beliau mengatakan dirinya sebagai individu yang ‘tidak sedar diri’.

Menurut Nur Jazlan, Saravanan juga boleh mendapatkan sokongan daripada pengundi Orang Asli sekiranya beliau merindui sokongan kaum itu di Kampung Bakar Batu, tetapi, ia tidaklah seramai di kawasannya di Tapah.

“Saya percaya jika Saravanan dapat memberikan kemenangan kepada BN sebagai calon Parlimen Pulai, ia suatu kemenangan yang cukup besar dan bermakna.

“Saya yakin dia akan disanjung dan dijulang sebagai hero macam dalam filem Tamil, Bahubali. Saya pun akan salute (tabik) dia,” katanya menerusi hantaran di Facebook di hari ini. – MalaysiaGazette